Beberapa bulan yang lepas saya menerima satu mesej terus di Facebook Messenger daripada satu akaun yang tidak saya kenali, berkemungkinan akaun palsu. Pada kebiasaannya saya tidak akan mengendahkan apa-apa mesej daripada akaun sebegitu kerana ia biasanya merupakan mesej daripada scammer, tetapi bukan kali ini. Mesej tersebut sangat ringkas, namun berjaya membuatkan jantung saya berhenti seketika.

Tolong saya nak beli pil gugur.

Saya panik, lantas membalas: Siapa bagitahu awak saya jual pil gugur? Saya ahli farmasi, bukan seller pil gugur.

Pemilik akaun itu – yang membahasakan dirinya Nur – kemudiannya menghantar satu tangkap layar hantaran yang saya tulis di Facebook berkenaan dengan ubat mifepristone dan misoprostol, dua ubat yang digunakan untuk pengguguran secara perubatan (medical abortion) yang berstatus tidak sah di Malaysia. Sebagai seorang ahli farmasi yang amat meminati subjek kesihatan dan hak seksual dan reproduktif, memang saya selalu menulis hantaran-hantaran di Facebook perihal akses kepada pengguguran dan kaedah kontraseptif di Malaysia bagi tujuan pendidikan awam. Tetapi tidak sekali pun saya menyatakan saya ada menjual pil gugur. 

Awak ada jual ke? Soalnya lagi. Saya mengandung 3 bulan, tak nak anak ni.

Ah sudah, bisik saya dalam hati. Jika dibiarkan dia mungkin akan cari kaedah lain yang berbahaya dan tidak efektif untuk menggugurkan kandungannya – hubungi penjual pil gugur penipu di Twitter? Makan nenas muda? Jumpa bidan tidak bertauliah yang menggunakan alatan yang tidak disteril dengan sempurna?

Saya segera membalas: Saya tak jual pil gugur, tapi jika awak perlukan bantuan, cuba hubungi NGO ini. Saya lantas memberikan nombor telefon talian hotline RRAAM kepadanya, dengan harapan Nur akan mendapat bantuan dan kaunseling berkenaan pengguguran selamat menerusi talian tersebut. Setelah mengucapkan terima kasih, dia terus offline

Sehingga kini, saya tidak mendapat sebarang khabar berita mengenai Nur. Akaun Facebook miliknya itu juga telah dipadam. Walau bagaimanapun, semenjak hari itu, saya mendapat beberapa lagi mesej daripada individu-individu yang mahu menggugurkan kandungan mereka. Kebanyakkannya ingin mengetahui di mana mereka boleh dapati kombinasi pil mifepristone dan misoprostol untuk pengguguran. Ada yang bertanyakan tentang kebolehpercayaan penjual pil gugur yang mereka jumpa di Twitter dan Instagram. Salah seorang daripada mereka memberi pautan satu akaun Twitter yang mengaku sebagai “doktor” yang menjual pil-pil tersebut, di bawah hashtag #pilgugur, #cytotec (Cytotec ialah satu jenama misoprostol) dan #pilcuci. 

Atas rasa ingin tahu, saya menekan pautan tersebut di bawah mod incognito dan menemukan ciapan-ciapan testimoni daripada “pengguna sebenar”, lengkap dengan gambar janin yang telah berjaya digugurkan. Lebih mengejutkan, akaun tersebut bukanlah satu-satunya akaun yang memasarkan ubat berkenaan – apabila saya metekan hashtag #pilgugur tersebut, saya terjumpa lebih 30 akaun Twitter serupa, dengan ciapan dan promosi yang seakan sama. Terdapat gambar-gambar pengguguran “berjaya”, gambar-gambar produk yang dijual, tangkap layar perbualan di Whatsapp dengan “pelanggan” untuk menunjukkan bahawa mereka adalah penjual yang boleh dipercayai, yang memberi panduan kepada pelanggan berkenaan cara menggunakan pil-pil tersebut daripada mula proses pengguguran hingga akhir. Tidak hairanlah mengapa begitu ramai orang menjadi mangsa kepada penjual-penjual yang tidak bertanggungjawab ini, melihat kepada cara pemasaran mereka yang amat meyakinkan, dan hakikat bahawa penjual-penjual ini menangguk air yang keruh, mengambil kesempatan terhadap individu-individu yang terdesak. Sekiranya anda terpaksa berhadapan dengan kehamilan yang tidak terancang dan anda tidak tahu cara yang sah di sisi undang-undang untuk menggugurkan kandungan, ke mana lagi akan anda pergi selain daripada penjual Cytotec yang menawarkan servis penghantaran terus secara cash-on-delivery (COD) tanpa nama?

Penjualan pil gugur secara haram atas talian sememangnya satu isu yang membimbangkan, tetapi isunya bukanlah terletak pada pil gugur itu semata-mata. Pengguguran secara ubat-ubatan telah terbukti sebagai satu kaedah pengguguran yang selamat dan efektif terutama sekali untuk fasa awal kehamilan. Bahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi penerbitannya yang bertajuk Clinical Practice Handbook for Safe Abortion ada menyatakan bahawa kaedah ini selamat untuk digunakan sehingga kandungan berusia 24 minggu. Untuk kandungan berusia 10 minggu ke bawah, ubat-ubatan ini boleh diambil sendiri di rumah di bawah bimbingan ahli perawatan kesihatan, sama ada melalui teleperubatan atau setelah mendapatkan konsultasi awal di fasiliti kesihatan, seperti yang dinyatakan di dalam garis panduan pengguguran selamat NICE. Hal ini juga bermakna seorang individu boleh memilih untuk melakukan pengguguran selamat secara kendiri di rumah mereka sendiri. Komplikasi daripada kaedah ini amat jarang berlaku – kurang 0.4% daripada individu yang menjalani pengguguran menggunakan kombinasi misoprostol dan mifepristone dalam trimester pertama kehamilan menghadapi komplikasi serius yang memerlukan pemindahan darah atau dimasukkan ke hospital. Kadar keberkesanan kaedah ini juga tinggi, hanya 5% daripada individu yang memilih kaedah ini memerlukan intervensi pembedahan disebabkan proses pengguguran yang tidak sempurna. WHO telahpun memasukkan kombinasi mifepristone-misoprostol dalam Senarai Ubat-ubatan Penting pertubuhan tersebut semenjak tahun 2005, dan kini telah menaiktaraf kombinasi tersebut daripada Senarai Ubat Komplementari kepada Senarai Ubat Teras. Mengambil kira tahap keberkesanan dan keselamatannya yang tinggi beserta penggunaan yang mudah, mifepristone dan misoprostol amat penting dalam menjamin akses lebih luas kepada kaedah pengguguran yang selamat.

Disebabkan ini juga saya berasa amat-amat musykil mengapa kedua-dua ubat-ubatan ini tidak didaftarkan di Malaysia, seterusnya mengakibatkan penjualannya haram di sisi undang-undang Malaysia walaupun dijual oleh ahli perawatan kesihatan yang berdaftar. Penjualan ubat-ubatan ini adalah satu kesalahan yang boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Sungguhpun pengguguran kandungan adalah sah di sisi undang-undang Malaysia (tertakluk kepada beberapa syarat di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan), mereka yang ingin menggugurkan kehamilan yang tidak terancang hanya mempunyai satu pilihan kaedah pengguguran sah iaitu pengguguran secara pembedahan. Kaedah ini lebih invasif dan bersifat kurang privasi berbanding pengguguran menggunakan ubat-ubatan. Hal ini berkemungkinan boleh membuatkan sesetengah orang khuatir untuk menjalani kaedah ini, terutama sekali mengambil kira stigma berkaitan pengguguran kandungan di Malaysia – sekiranya orang sekeliling mengetahui bahawa anda menjalani pengguguran, anda mempunyai risiko untuk dipulaukan oleh ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Disebabkan ini, sesetengah individu tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membeli pil gugur secara haram di atas talian daripada penjual tanpa nama yang tidak mempunyai tauliah langsung sebagai ahli perawatan kesihatan, apatah lagi terlatih untuk mengendalikan kes-kes komplikasi yang berpunca daripada penggunaan ubat-ubatan yang mereka jual –  sama ada ubat tiruan ataupun ubat asli yang dibekalkan dengan dos yang salah. Sesetengah individu yang tidak bernasib baik juga menjadi mangsa songlap apabila sang penjual hilang tanpa khabar berita setelah menerima bayaran ubat-ubatan tersebut (yang boleh mencecah hampir RM600 satu set).   

Sekiranya mifepristone dan misoprostol didaftarkan di Malaysia, individu yang memerlukan pengguguran secara perubatan mampu mendapat akses kepadanya secara sah melalui ahli perawatan kesihatan yang bertauliah. Hal ini dapat menjurus kepada kawalan mutu, pengawasan penggunaan serta pengurusan kesan advers yang lebih baik. Pada masa yang sama juga, ia mampu untuk menyekat penjualan pil gugur secara haram daripada terus berleluasa memandangkan permintaan terhadap ubat-ubatan tersebut dapat dipenuhi secara sah. Adalah bukan satu kebetulan apabila penjualan pil gugur secara haram semakin meningkat setelah pendaftaran misoprostol ditarik balik pada 2016. Dari 2016 hingga 2019 sahaja terdapat kira-kira 24 serbuan mensasarkan kepada penjualan misoprostol dan mifepristone secara haram, membabitkan nilai rampasan sebanyak RM 95,233. Jelas di sini bahawa menjadikan pengguguran menggunakan ubat-ubatan salah di sisi undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada melakukannya, bahkan ia hanya mendedahkan orang ramai kepada risiko berkaitan dengan pengguguran yang tidak selamat dan tidak diawasi oleh ahli perawatan kesihatan. Mereka yang terdesak akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang diperlukan oleh mereka, termasuklah cara yang membahayakan diri sekalipun. Jika tidak percaya, tanyalah individu-individu yang menghubungi saya melalui Facebook Messenger itu.

Sebenarnya saya bersyukur apabila individu-individu seperti Nur tersalah anggap saya sebagai penjual pil gugur dan menghubungi saya untuk mendapatkan mifepristone dan misoprostol; sekurang-kurangnya sebagai ahli farmasi berdaftar yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran berkaitan pengguguran selamat, saya mampu memberi maklumat yang tepat mengenai pengguguran secara ubat-ubatan serta menghalang mereka daripada mengambil kaedah-kaedah yang berbahaya dan tidak sah di sisi undang-undang. Tetapi berapa ramai orang di luar sana yang bertindak menghubungi ‘sis’ Pil Cuci untuk mendapatkan 8 biji pil berbentuk heksagon pada harga RM600 satu set? Selagi mifepristone dan misoprostol tidak didaftarkan di Malaysia, selagi itulah kita akan lihat penjual pil gugur haram berleluasa di atas talian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Cantas satu, dua yang baru akan muncul. Ini konsep asas penawaran dan permintaan. Permintaan akan sentiasa ada daripada individu-individu yang berdepan dengan kehamilan yang tidak terancang dan tidak diingini. Soalnya, siapa yang akan memenuhi permintaan tersebut? Ahli perubatan berdaftar, atau Doktor Pil Gugur COD By Hand?

Foto dari Andrea Piacquadio oleh Pexels

Need Help? Chat with us