Pengguguran Kandungan (cuci rahim)


Jika anda memerlukan maklumat atau khidmat pengguguran selamat dan kehamilan tak dikehendaki di Malaysia, kami sedia membantu. Hubungi kami menerusi Talian RRAAM.

Di Malaysia,

walaupun undang-undang membenarkan pengguguran kandungan jika doktor menentukan yang kehamilan seseorang wanita membahayakan nyawa atau kesihatan fizikal/mentalnya, hak undang-undang ini tidak diketahui umum.

Dianggarkan sebanyak 100, 000 pengguguran dicari setiap tahun di Malaysia.

Di peringkat global, lebih kurang 3.9 juta gadis remaja merisikokan nyawa tiap tahun menjalani pengguguran tak selamat. 

Komplikasi dari kehamilan terus menjadi punca kematian utama di kalangan gadis remaja berumur 15-19 di negara-negara membangun.

‘Pil cuci noda’ (pil gugur janin ‘black market’) dijual secara meleluasa di WhatsApp, Facebook, dan web media sosial lain. Kami tidak mengesyorkan pembelian pil gugur kandungan dari sumber yang disyaki.

Jenis-jenis kaedah pengguguran
  • Pembedahan – Penyedutan dengan vakum dan dilatasi & pengkuretan (D&C)
  • Perubatan – Pil gugur janin (Mifepristone dan Misopristol). Pil ini tidak boleh didapati secara rasmi kerana telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun, pembelian
    dalam internet dan melalui talian untuk penggunaan peribadi tetap diteruskan. Adalah sangat penting untuk memastikan bahawa anda membeli ubat berdaftar kerana terdapat penipuan yang berleluasa menjual pil tidak selamat. RRAAM menganjurkan agar pil pengguguran perubatan tersedia di klinik dan farmasi untuk meningkatkan pentadbiran dos yang tepat dan selamat.
Hingga minggu ke berapa?
  • Di RRAAM, kami menyarankan pengguguran dengan ubatan dilakukan sehingga 9-10 minggu kehamilan. Ini untuk mengambil kira tempoh penghantaran pil dan kelewatan lain yang tak terjangka, agar dapat menjalani pengguguran perubatan yang selamat dan lengkap.
  • Pengguguran kaedah bedah pula boleh dilakukan dalam tempoh hingga 20-22 minggu di Malaysia. Namun, lebih baik jika prosedur dijadualkan secepat mungkin bagi mengurangkan komplikasi perubatan sewaktu saiz kehamilan membesar. Juga, kos pengguguran akan meningkat selari dengan saiz kehamilan. Oleh itu, kami mengesyorkan kalau boleh jangan lewat mengatur prosedur.
Kos
  • Kos bedah untuk gugurkan kandungan bergantung pada beberapa faktor penting, seperti saiz kehamilan dan sebarang komplikasi perubatan yang mungkin anda ada. Hospital swasta juga mungkin mengenakan caj lebih mahal dari klinik-klinik tertentu. Di RRAAM, kos bagi menamatkan kehamilan awal umumnya bermula dari RM800, dan boleh mencapai lebih RM4000 bagi kehamilan trimester kedua ( hingga 22 minggu). Perlu diingatkan kos lain wajar dikira sekali dengan kos pengguguran, termasuk kos perjalanan dan tempat tinggal anda jika anda merentas negeri untuk melakukan prosedur.
  • Kos pembedahan bergantung pada penyedia khidmat. Memandangkan pil gugur kandungan tidak didaftar untuk diedarkan di Malaysia, klinik dan hospital tidak boleh mempreskripsikan atau menjual pil gugur kandungan. Dengan itu, pil gugur yang dibeli di Internet daripada sumber-sumber dipercayai harganya bermula 80 Euro (lebih kurang RM350) sebagai dana kepada Women on Web (womenonweb.org) hingga RM580 dari safeparenthood.org.
    Tempoh penghantaran mungkin berbeza.
Prosedur
  • Pengguguran pembedahan di klinik mesra wanita yang disyorkan oleh RRAAM biasanya dilakukan menerusi proses yang digelar Penyedutan Vakum Manual (Manual Vacuum Aspiration atau MVA). Ia adalah prosedur ringkas yang dilakukan pada tempoh awal kehamilan, di mana sedutan melalui picagari dilakukan untuk mengeluarkan tisu kehamilan dari uterus. Ubat bius setempat digunakan untuk mengebaskan serviks dan ubatan untuk megurangkan sakit dan keresahan.juga mungkin ditawarkan. Di antara 6-12 minggu, MVA biasanya prosedur yang mudah, mengambil 15-30 minit untuk siap. Selepas berehat selama 1-2 jam di klinik atau pusat perubatan, kline boleh pulang dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
  • Pengguguran perubatan. Rawatan di rumah ini sesuai untuk kehamilan dalam jangka 9-10 minggu. Pil gugur kandungan (Mifepristone dan Misoprostol) mencetuskan proses mirip keguguran semulajadi. Pendarahan berat mungkin berlaku untuk tempoh berhari setelah mengambil misoprostol, disertai kekejangan dan gejala mual dan cirit-birit. Pendarahan ringan mungkin berterusan selama 1-2 minggu. Tindak balas terhadap proses pengguguran perubatan berbeza mengikut individu. Ramai yang mengatakan ia serupa haid yang normal, tapi sebilangan kecil mendapati kesan sampingannya berpotensi menyakitkan.
Kelebihan
  • Pengguguran pembedahan MVA adalah prosedur yang agak mudah, dengan tempoh pemulihan sekitar 1-2 hari, bergantung kepada klien dan situasi mereka.
  • Bila dilakukan oleh pengamal perubatan berpengalaman, pengguguran pembedahan menjamin yang keguguran terjadi dengan selamat sepanjang prosedur itu sendiri.
  • Pembedahan perubatan boleh dilakukan dengan privasi di rumah anda atau persekitaran yang dipilih. Ramai wanita memilih agar pil dihantar terus kepada mereka berbanding harus pergi ke klinik.
  • Pil gugur kandungan jauh lebih murah dibanding dengan prosedur pembedahan.
Kekurangan
  • Pengguguran pembedahan boleh menjadi jauh lagi mahal daripada menggunakan ubatan, bergantung pada fasiliti perubatan dan yuran dikenakan. Namun, selepas tamat tempoh 9-10 minggu yang disyorkan untuk kaedah perubatan, satu-satunya langkah selamat untuk pengguguran adalah dengan melakukan pembedahan.
  • Pengguguran perubatan mempunyai kadar kejayaan yang sedikit rendah dibandingkan pembedahan, iaitu 95%. Wanita juga melaporkan gejala sakit perut, mual, cirit-birit dan pendarahan berat dalam tempoh pengguguran perubatan. Sejumlah kecil melaporkan yang gejala-gejala ini amat menyakitkan.

Wajar bagi kanak-kanak perempuan dan wanita memperolehi khidmat pengguguran kandungan yang selamat dan berpatutan kerana ia memberi kesan yang nyata sekali pada kualiti hidup. Malangnya, ramai wanita masih mengalami kesukaran mengakses khidmat pengguguran yang sah kesan daripada stigma dan kurangnya maklumat.

Jika anda perlukan pertolongan segera, atau ingin ketahui lebih lanjut mengenai kehamilan tak dikehendaki, hubungi Talian RRAAM. Talian RRAAM beroperasi mula 10am hingga 5pm, Isnin hingga Ahad untuk memberi maklumat tentang pilihan pengguguran selamat yang ada untuk anda di Malaysia.

Ada pertanyaan? Lanjut ke Soalan Lazim kami.

Need Help? Chat with us