Apakah hubungan seks selamat?

Seks yang selamat, atau seks yang lebih selamat, adalah aktiviti seksual yang menggunakan kaedah atau alat (seperti kondom) untuk mengurangkan risiko penularan atau memperoleh Penyakit Kelamin (STD). Ini dilakukan melalui hubungan seksual yang tidak melibatkan pertukaran cecair tubuh seperti air mani, darah atau cairan vagina antara pasangan. Mengamalkan seks yang lebih selamat tidak bermaksud bahawa salah satu pasangan mempunyai STD atau mengambil dadah. Ini adalah kaedah pencegahan yang dapat mengurangkan risiko kehamilan yang tidak dirancang dan melindungi pasangan seksual.

Apa itu persetujuan?

Persetujuan adalah kesepakatan sukarela, bersungguh, dan perjanjian jelas antara kedua pihak untuk melakukan aktiviti seksual yang spesifik. Tidak ada ruang untuk pandangan berbeza mengenai apa itu persetujuan. Penting untuk bersikap jujur ​​dengan pasangan anda mengenai perkara yang anda mahu dan tidak mahukan. Persetujuan diberikan secara bebas (tanpa rasa takut, tekanan atau diancam), boleh ditarik semula (anda boleh mengubah fikiran anda setelah mengatakan ya kepada seks), sedia maklum (anda tahu apa yang anda telah setujui dan apa-apa akibat yang melibatkan aktiviti seksual ini), bersungguh (iaitu “ya!” yang bersungguh), spesifik (semua pasangan yang terlibat dalam aktiviti seksual tersebut mesti jelas mengenai tindakan dan batasan tertentu yang mereka setujui).

Adakah saya perlu meminta persetujuan sebelum melakukan hubungan seks?

Ya. Sebelum melakukan hubungan seks dengan seseorang, anda perlu mengetahui sama ada mereka juga ingin terlibat secara seksual dengan anda. Satu-satunya cara untuk melakukan hubungan seks adalah dengan persetujuan dalam keadaan sedar dan jelas dari orang yang anda mahu lakukan seks dengannya. Persetujuan membolehkan seseorang mengetahui bahawa seks tersebut diingini. Aktiviti seksual tanpa persetujuan adalah rogol
atau serangan seksual.

Adakah saya perlu memberikan persetujuan sebelum melakukan hubungan seks?

Ya. Penting untuk memberitahu pasangan anda bahawa anda bersetuju dengan aktiviti seksual sebelum terlibat dengannya. Persetujuan tidak boleh disiratkan atau diandaikan, walaupun anda terikat dalam sebuah hubungan atau perjanjian. Sekiranya anda berada dalam keadaan agak mabuk atau khayal, dan anda rasa kurang sedar, persetujuan anda tidak diperakui sepenuhnya kerana anda mungkin tidak jelas sepenuhnya dengan apa yang dipersetujui.

Mengapa persetujuan itu penting?

Komunikasi, kejujuran dan rasa hormat menjadikan hubungan seksual lebih baik. Meminta dan mendapatkan persetujuan menunjukkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan pasangan anda. Ini menghilangkan rasa berhak sebelah pihak ke atas pihak yang satu lagi. Baik badan mahupun seksualiti anda, kedua-duanya bukan milik orang lain.

Bolehkah saya mengubah fikiran setelah bersetuju untuk lakukan seks?

Ya. Anda sentiasa boleh mengubah fikiran setelah bersetuju untuk melakukan hubungan seks, sekalipun ketika sedang melakukan aktiviti seks. Anda boleh mengubah fikiran dengan alasan apa pun (contoh. anda tiba-tiba merasa tak selesa, waktu bersetuju anda tak tahu apa yang bakal dirasa, anda tak mahu perlakuan tertentu, anda mahu ambil masa anda)

Bolehkah saya mengubah fikiran saya setelah mengatakan tidak kepada seks?

Ya. Anda boleh memutuskan untuk bersetuju melakukan hubungan seks walaupun pada awalnya anda mengatakan tidak. Anda boleh memberitahu pasangan anda mengenai keinginan anda untuk melakukan hubungan seks dengan memberitahunya bahawa anda telah berubah fikiran dan ingin melakukan hubungan seks dengannya.

Bolehkah saya melakukan hubungan seks dengan seseorang yang lebih muda/ lebih tua daripada saya?

Umur kerelaan (mampu memberi persetujuan/kebenaran) yang sah di Malaysia adalah 16. Sekiranya anda seorang dewasa dan anda melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur (seseorang di bawah 16 tahun), anda boleh didakwa atas undang-undang kesalahan merogol (statutori). Sekiranya anda berumur di bawah 16 tahun, kebenaran anda tidak bermaksud bahawa anda telah bersetuju. Adalah sangat penting untuk anda mempertimbangkan dinamika kekuatan (contoh. ada ketidakseimbangan kuasa) untuk melakukan hubungan seks dengan seseorang yang lebih tua daripada anda, terutamanya jika orang itu berada dalam kedudukan yang lebih berkuasa (contoh. guru, ahli fisioterapi, doktor, pemimpin agama, bos, pelatih peribadi). Anda harus peka apabila ada yang cuba menyentuh anda tanpa kebenaran anda, anda harus melaporkannya kepada ibu bapa, orang dewasa yang anda percayai atau polis.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya pasangan saya mengubah fikiran semasa melakukan hubungan seks?

Sekiranya anda sedang melakukan aktiviti seksual ketika pasangan anda berubah fikiran, perkara yang betul dan tepat adalah berhenti segera. Anda mesti menghormati pilihannya. Memaksanya untuk meneruskannya adalah salah dan anda melakukan jenayah. Sekiranya seseorang itu mabuk atau tidak selesa untuk meneruskannya, anda tidak berhak mencuba dan meyakinkannya. Anda boleh bertanya kepadanya jika dia terbuka untuk mencuba sesuatu yang lain, atau memintanya untuk berkongsi pemikiran dan perasaannya serta memastikan dia merasa selesa. Seks boleh membuatkan sesetengah orang merasa tak selamat, dan anda harus mengambil langkah untuk membuatnya merasa selamat dan terjamin setiap masa.

Bagaimana cara menanyakan persetujuan?

Anda boleh minta persetujuan melalui soalan seperti, “boleh saya cium awak?”, “Boleh saya buka yang ni?”, “Awak nak lakukan seks?”, “Boleh saya [isi tempat kosong]?”, ” awak selesa kalau kita cuba [isikan tempat kosong]?”. Selalunya lebih baik untuk bertanya secara langsung sebelum memulakan aktiviti baru kerana bersetuju kepada satu tindakan seksual tidak semestinya bersetuju kepada tindakan seksual yang berbeza. Tak menolak pula bukan bererti kebenaran untuk meneruskan. Diam bukan tanda setuju. Adalah lebih baik menunggu kerelaannya sebelum melakukan sebarang aktiviti seksual, termasuk menyentuh dan mencium.

Bagaimana boleh saya berikan persetujuan?

Penting untuk terus-terang dan teratur semasa anda memberikan persetujuan, dan untuk mengetahui dengan tepat apa yang dipersetujui. Kerelaan adalah tentang komunikasi, dan ia harus berterusan. Bersetuju untuk satu aktiviti bukanlah bersetuju untuk semua aktiviti sepanjang masa. Bersetuju melakukan hubungan seks dengan seseorang pada masa lalu tidak bermaksud bersetuju melakukannya pada masa akan datang. Anda boleh memberikan persetujuan melalui pernyataan tegas seperti “ya!”, “Saya terbuka untuk mencuba”, “Saya mahu awak [isi tempat kosong]” atau “Saya mahu awak [isi tempat kosong]”.

Bolehkah suami / isteri saya melakukan hubungan seks dengan saya tanpa persetujuan saya?

Adalah satu kesalahan melakukan hubungan seks dengan seseorang tanpa persetujuannya, walaupun dalam sebuah perhubungan. Sekiranya suami / isteri anda melakukan hubungan seks dengan anda tanpa persetujuan, itu adalah rogol dalam perkahwinan. Perkahwinan bukanlah persetujuan abadi. Adalah berbahaya untuk menganggap bahawa anda bebas melakukan hubungan seks sepanjang masa dengan seseorang yang anda telah kahwini. Keganasan seksual dalam perkahwinan atau perhubungan adalah bentuk penderaan domestik dan mesti diakui mengikut undang-undang sebagai serangan seksual.

Sekiranya saya melakukan hubungan seks sebelum berkahwin, adakah saya akan ke penjara?

Umur kerelaan melakukan hubungan seks di Malaysia ialah 16. Melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur (seseorang di bawah umur 16 tahun) boleh dianggap sebagai rogol berkanun. Walau bagaimanapun, jika anda masih di bawah umur, jangan takut bercakap dengan doktor atau menghubungi kaunselor RRAAM melalui Talian kami. Di sini kami ada untuk membimbing anda membuat pilihan yang baik untuk diri sendiri, dan  membantu anda sekiranya menghadapi kehamilan yang tak dikehedaki atau memerlukan lebih banyak maklumat mengenai kontrasepsi (pencegahan kehamilan).

Apakah itu kontraseptif?

Kontrasepsi bertujuan untuk mencegah kehamilan. Anda boleh hamil sekiranya sperma mencapai salah satu telur anda. Kontrasepsi cuba menghentikan perkara ini daripada berlaku. Hanya kondom lelaki dan wanita yang melindungi daripada jangkitan kelamin dan kehamilan. Ianya mesti digunakan dengan betul dan digunakan setiap kali anda melakukan hubungan seks. Kaedah kontrasepsi lain hanya melindungi dari kehamilan, jadi pastikan anda menggunakan kondom semasa hubungan seksual untuk mengelakkan jangkitan kelamin.

Mengapa kontrasepsi penting?

Kontrasepsi membolehkan anda merancang/menangguh kehamilan sehingga anda bersedia sepenuhnya untuk hamil. Ia juga dapat mencegah kehamilan bagi wanita lebih tua yang menghadapi risiko berkaitan kehamilan. Penggunaan kontraseptif juga mengurangkan keperluan pengguguran dengan mencegah kehamilan yang tidak dikehendaki.

Adakah hanya lelaki boleh menggunakan kontraseptif?

Semua individu, termasuk wanita dan lelaki boleh menggunakan alat kontrasepsi. Kaedah kontraseptif lelaki termasuklah kondom lelaki. Kondom mesti digunakan hanya dengan pelincir berasaskan air kerana pelincir berasaskan minyak boleh menyebabkan kondom terkoyak dan gagal berfungsi. Wanita mempunyai lebih banyak pilihan, seperti kondom wanita, pil kawalan kelahiran, suntikan kawalan kelahiran dan IUCD (alat yang dipasang pada rahim). Penting bagi wanita dewasa dan gadis untuk mengambil langkah pencegahan sendiri untuk mengelakkan STIs dan kehamilan yang tidak dirancang. Anda berhak untuk menolak hubungan seksual dengan sesiapa sahaja yang enggan menggunakan perlindungan kontraseptif.

Adakah alat kontraseptif mahal?

Kos alat kontraseptif berbeza-beza, bergantung pada jenis dan di mana ia dibeli. Kondom lelaki murah dan mudah didapati di kedai dan farmasi, dan kadang-kadang percuma di klinik. Anda juga boleh mendapatkan pil kawalan kelahiran dan suntikan di klinik kerajaan dengan harga serendah RM1.00. Pada masa ini, terdapat banyak sumber di Internet untuk membeli alat kontraseptif, namun penting untuk anda berhati-hati dengan produk palsu yang boleh membahayakan kesihatan anda. Sentiasa cari sumber maklumat yang disahkan, dan rujuk doktor anda untuk memastikan anda membuat keputusan yang tepat.

Adakah pengambilan pil kawalan kelahiran menyakitkan?

Kebanyakan wanita mengalami sedikit atau tiada kekejangan semasa mengambil pil kawalan kelahiran. Ada yang mengalami kekejangan ringan untuk satu atau dua kitaran ketika badan mereka sedang menyesuaikan diri dengan perubahan hormon, tetapi ini sering menurun atau berhenti sepenuhnya. Kebimbangan biasa seperti kenaikan berat badan dan ketidaksuburan kekal adalah tidak berasas, memandangkan kini terdapat wujud pil dos rendah. Hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami kekejangan atau sakit pelvis yang tiba-tiba atau teruk.

Di mana saya boleh membeli alat kontraseptif?

Anda boleh membeli beberapa jenis alat kontraseptif seperti kondom dan pil perancang kecemasan (yang dikenali sebagai ‘morning after pill)’ di kebanyakan farmasi. Beberapa klinik yang dikhaskan untuk kesihatan reproduktif dan seksual memberikan kondom secara percuma. Untuk IUCD, implan hormon dan suntikan kawalan kelahiran, anda perlu berjumpa doktor atau pakar sakit puan. Sebilangan alat kontraseptif terdapat di klinik kerajaan. Anda juga boleh membeli beberapa alat kontraseptif di Internet, tetapi penting untuk mengetahui apa yang anda cari dan apa yang sesuai untuk anda, dan mestilah selalu mengesahkan sumber dari mana anda membeli. Anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dengan bercakap dengan doktor atau menghubungi kaunselor RRAAM melalui Talian Hotline kami untuk mendapatkan konsultasi percuma. 

Adakah saya memerlukan preskriptif untuk kontrasepsi?

Kondom boleh dibeli di kaunter di kedai di Malaysia, sementara pil kawalan kelahiran boleh dibeli di farmasi. Kaedah seperti IUCD, suntikan DepoProvera(suntikan perancang kehamilan), dan Implanon (dipasang bawah kulit lengan) memerlukan rawatan perubatan dari doktor untuk memasukkan kaedah kontrasepsi yang anda pilih ke dalam badan dengan selamat. Sering disarankan agar anda berjumpa dengan pengamal perubatan yang dipercayai untuk mendapatkan nasihat perubatan mengenai bentuk rawatan kontraseptif dan perancangan keluarga yang terbaik untuk keperluan dan situasi peribadi anda.

Siapa yang harus menggunakan kontraseptif?

Sesiapa yang melakukan aktiviti seksual atau persetubuhan harus dimaklumkan mengenai pentingnya kontrasepsi dan cara menggunakannya. Di Malaysia, stigma berkisar kontrasepsi selalunya menunjukkan bahawa ramai orang tidak menyedari bahawa mereka perlu menggunakan perlindungan semasa melakukan hubungan seksual. Kontrasepsi adalah langkah pencegahan. Menggunakan perlindungan TIDAK bermaksud bahawa salah satu pasangan mempunyai jangkitan kelamin, memiliki beberapa pasangan seksual, telah melakukan hubungan seks dengan pekerja seks atau menggunakan jarum suntikan dadah. Kita perlu melawan batasan stigma dan diperkasa untuk belajar dan menggunakan kontrasepsi untuk mengelakkan kesan yang tidak menyenangkan. Sekiranya anda mengetahui rakan atau ahli keluarga yang aktif secara seksual, berbincanglah dengan mereka mengenai penggunaan perlindungan sebagai cara untuk menjaga diri dan orang tersayang.

Adakah pengguguran sah di Malaysia

Ya. Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 1989 membenarkan seorang pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 (semua doktor yang mengamal perubatan secara sah di negara ini) untuk “menamatkan kehamilan seorang perempuan sekiranya pengamal perubatan tersebut berpendapat, dengan suci hati, bahawa penerusan kehamilan akan melibatkan risiko kepada nyawa perempuan yang hamil itu, atau kecederaan kepada kesihatan mental atau fizikal perempuan itu yang lebih daripada jika kehamilan itu ditamatkan ”(Seksyen 312, Kanun Keseksaan). Syarat-syarat undang-undang untuk pengguguran ini bersifat progresif, meletakkan Malaysia di antara tiga perlima negara dengan undang-undang yang paling tidak ketat di seluruh dunia. Menurut undang-undang di Malaysia, hanya satu keputusan doktor yang diperlukan. Malangnya, hospital awam dan swasta memerlukan keputusan dua doktor tanpa sebab.

Adakah wanita dan lelaki tahu status undang-undang pengguguran di Malaysia?

Tidak. Ramai orang salah sangka bahawa pengguguran di Malaysia sama sekali tidak sah dalam apa jua keadaan. Tinjauan terhadap klien kesihatan reproduktif (Kamaluddin, 2008) mendapati bahawa 41% wanita tidak mengetahui syarat undang-undang untuk pengguguran. Salah faham ini adalah kerana kesahan pengguguran tidak banyak dibincangkan dalam perkhidmatan kesihatan, kesejahteraan sosial dan krisis wanita. Juga tidak ada usaha awam untuk mendidik wanita mengenai status sahnya termasuk penyediaan maklumat yang tepat di media.

Adakah doktor dan pakar kesihatan memahami status undang-undang pengguguran?

Ramai yang tidak tahu. Kaji selidik terhadap 120 doktor dan jururawat mendapati bahawa hanya 57% yang benar-benar mengetahui undang-undang tersebut. (RRAAM, 2007) Kurikulum perubatan dan kejururawatan serta media semuanya memperkuatkan tanggapan salah yang sama.

Mengapa doktor tidak mengetahui mengenai status undang-undang pengguguran di Malaysia?

Walaupun terdapat syarat yang dibenarkan untuk pengguguran, Kanun Keseksaan adalah undang-undang jenayah yang diwarisi dari zaman penjajahan di mana wanita dan pengamal kesihatan boleh didakwa jika undang-undang tersebut tidak dipatuhi. Ketakutan, diikuti dengan gambaran media yang negatif, telah menyebabkan kesenyapan dan kerahsiaan doktor dalam peruntukan undang-undang pengguguran dan menghalang banyak doktor untuk memberikan perkhidmatan pengguguran. Namun realitinya, sejak 20 tahun lepas jarang sekali doktor didakwa atas kesalahan pengguguran, dan dalam semua kes mereka dibebaskan.

Berapakah kos pengguguran di Malaysia?

Perkara ini banyak bergantung pada kaedah pengguguran (pengguguran perubatan berbanding pengguguran pembedahan), penyedia perkhidmatan kesihatan anda (ada yang mungkin mengenakan bayaran lebih tinggi daripada yang lain), dan ukuran kehamilan. Di RRAAM, kami menganggarkan harga untuk pengguguran pembedahan antara RM800 (untuk kehamilan peringkat awal) hingga RM4500 (untuk kehamilan trimester kedua akhir). Perubatan untuk pengguguran boleh dibeli di Internet dari sumber yang dipercayai seperti Women on Web, dengan bayaran kira-kira 80 Euro atau RM350 ke atas.

Di mana saya boleh melakukan pengguguran?

Di Malaysia, terdapat perkhidmatan pengguguran selamat di pusat perubatan awam dan swasta. Walau bagaimanapun, ramai wanita tidak dapat melakukan pengguguran di pusat kesihatan kerajaan kerana tafsiran yang lebih ketat mengenai Kanun Keseksaan. Hubungi kaunselor RRAAM melalui Talian kami untuk mengetahui di mana anda boleh mengakses perkhidmatan pengguguran yang selamat dan berpatutan berhampiran dengan anda.

Bilakah saya boleh melakukan pengguguran?

Sebilangan besar perkhidmatan yang disediakan di Malaysia hanya menamatkan kandungan berusia hingga 12 minggu. Terdapat had 22 minggu untuk pengguguran, selepas itu janin dianggap sebagai bayi hidup. Penting untuk menamatkan kehamilan sebaik sahaja anda menyedari kehamilan yang tak dikehendaki, kerana anda mungkin harus mempertimbangkan masalah seperti kewangan dan perjalanan.

Bagaimana nak memastikan saya memperolehi pengguguran yang selamat?

Adalah sangat penting untuk memastikan anda perolehi pengguguran dari pengamal perubatan berlesen dan anda dimaklumkan mengenai prosedur dan apa yang terlibat sebelum melaluinya. Talian Hotline RRAAM adalah penyedia maklumat yang boleh dipercayai tentang perkhidmatan pengguguran yang selamat, berpatutan dan mesra wanita. Hubungi kaunselor melalui WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut.

Apakah jenis pengguguran yang ada?

Anda mempunyai pilihan untuk mendapatkan pengguguran perubatan (menggunakan pil pengguguran) atau pengguguran pembedahan (prosedur yang dilakukan oleh pengamal perubatan berlesen).

Adakah pengguguran dibenarkan dalam Islam?

Pada tahun 2002, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyatakan bahawa pengguguran adalah makruh sehingga 40 hari, harus sehingga 120 hari, dan haram lebih daripada itu, kecuali jika nyawa ibu ada dalam bahaya atau terdapat gangguan janin. Fatwa liberal ini sesuai dengan majoriti negara Muslim di mana pengguguran dibenarkan secara bersyarat untuk kesihatan, dan kadang-kadang alasan sosial (sehingga empat bulan).

Adakah pengguguran kaedah pembedahan selamat?

Sekiranya dilakukan oleh pengamal perubatan berlesen, pengguguran pembedahan tidak akan membawa kesan buruk kepada kesihatan. Pengguguran tidaklah menakutkan; ia adalah prosedur perubatan. Berhati-hatilah di mana anda melakukan pengguguran, kerana terdapat banyak amalan haram di negara ini yang menawarkan perkhidmatan pengguguran tanpa lesen, yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan anda. Doktor anda haruslah memberitahu anda mengenai prosedurnya sebelum menjalankannya. Sekiranya anda tidak merasa selamat atau tidak pasti, anda sentiasa boleh menghubungi kaunselor RRAAM di Talian kami untuk mengetahui di mana anda boleh menerima pengguguran yang selamat, berpatutan dan mesra wanita. Anda mungkin juga ingin membawa orang lain bersama anda (jika  dapat) pertama kali anda pergi ke klinik supaya boleh mendapat sokongan dan bantuan sekiranya anda memerlukannya.

Apa yang berlaku semasa pengguguran pembedahan?

Pengguguran pembedahan atau Manual Vacuum Aspiration (MVA) adalah prosedur mudah yang dilakukan pada awal kehamilan, di mana sedutan melalui picagari dilakukan untuk mengeluarkan tisu kehamilan dari rahim. Ubat bius setempat digunakan untuk mengkebaskan serviks serta ubat-ubatan untuk mengurangkan rasa sakit dan keresahan juga mungkin ditawarkan. Antara 6-12 minggu, MVA biasanya merupakan prosedur yang agak mudah, memerlukan sekitar 15 hingga 30 minit untuk selesai.

Apa yang berlaku semasa pengguguran perubatan?

Pil pengguguran (Mifepristone dan Misoprostol) mencetuskan proses yang mirip keguguran semula jadi. Mifepristone menyekat progesteron pada tubuh anda sendiri, menghalang perkembangan kehamilan. Ubat kedua, misoprostol, diambil sama ada segera atau sehingga 48 jam kemudian menyebabkan kekejangan dan pendarahan yang mengosongkan rahim anda. Sebilangan wanita menggambarkannya seperti mengalami kekejangan datang haid yang sangat teruk, dan prosesnya sangat serupa dengan keguguran awal.

Adakah saya memerlukan kebenaran sebelum melakukan pengguguran? Adakah ibu bapa saya akan dimaklumkan sekiranya saya meminta melakukan pengguguran?

Sekiranya anda berusia di bawah 18 tahun, anda memerlukan persetujuan penjaga sah atau ibu bapa untuk melakukan pengguguran pembedahan. Jika tidak, ibu bapa anda tidak boleh terlibat atau diberitahu mengenai keputusan perubatan peribadi anda termasuk pengguguran, jika anda tidak menginginkannya. Untuk pengguguran perubatan, pil pengguguran boleh dipesan secara rahsia dari sumber di Internet yang dipercayai dan diambil dalam keadaan selamat dan privasi di kediaman anda sendiri.

Adakah pengguguran disebabkan oleh ubat berbahaya bagi kesihatan saya?

Pil pengguguran (Mifepristone dan Misoprostol) mencetuskan proses yang serupa dengan keguguran semula jadi. Pendarahan berat boleh berlaku selama beberapa hari setelah mengambil misoprostol, disertai dengan kekejangan dan gejala mual dan cirit-birit yang lain. Pendarahan ringan (tompok/bintik darah) boleh berterusan selama 1-2 minggu. Proses pengguguran perubatan memberikan kesan yang berbeza bagi setiap individu berbeza. Sebilangan besar mengatakan bahawa ia seperti tempoh biasa, tetapi sebilangan kecil mendapati kesan sampingan pengguguran perubatan berpotensi menyedihkan.

Bagaimana saya tahu jika saya hamil?

Tanda dan gejala kehamilan yang biasa termasuk tempoh haid (datang bulan) yang terlepas, payudara yang bengkak atau lembut, mual dan / atau muntah, merasa letih, sembelit, kembung perut dan kencing lebih banyak daripada biasa. Membeli ujian kehamilan (UPT) dari mana-mana farmasi selepas tempoh haid yang tertangguh adalah cara yang boleh dipercayai dan berpatutan untuk mengetahui sama ada anda hamil. Ujian kehamilan boleh dilakukan di rumah atau berjumpa doktor untuk memastikannya.

Saya terlepas tempoh haid saya. Adakah saya mengandung?

Tempoh haid yang terlepas atau lambat tidak semestinya disebabkan oleh kehamilan, tetapi boleh menjadi petanda. Sekiranya anda mengesyaki anda hamil selepas tempoh haid yang terlepas, lakukan ujian kehamilan untuk mengetahuinya.

Adakah kaedah ejakulasi di luar faraj berkesan?

Bagi setiap 100 orang yang menggunakan kaedah pasangan lelaki ejakulasi di luar faraj (kaedah ‘pancut luar’) dengan sempurna, hanya 4 orang akan hamil. Tetapi melakukan kaedah pancut luar ini sukar dilakukan dengan sempurna. Oleh itu, dalam kehidupan sebenar, kira-kira 22 daripada 100 orang yang melakukan kaedah pancut luar ini hamil setiap tahun – iaitu kira-kira 1 dari 5 kes, di mana ianya jumlah yang banyak. Kaedah ini juga tidak melindungi daripada jangkitan kelamin. Cara terbaik menggunakan kaedah pancut luar adalah dengan menggabungkannya dengan bentuk kontrasepsi lain, seperti kondom untuk mengurangkan risiko kehamilan dan terkena jangkitan kelamin.

Saya telah lakukan hubungan seks tanpa perlindungan. Adakah saya mengandung?

Bahaya seks tanpa perlindungan termasuk kehamilan dan jangkitan kelamin. Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan tidak semestinya mengakibatkan kehamilan, tetapi ia kekal berisiko. Selalulah membuat pilihan yang lebih baik untuk melindungi diri dan pasangan anda dengan menggunakan alat kontraseptif seperti kondom.

Perlukah saya menggunakan kontraseptif semasa hubungan seks ketika hamil?

Adalah penting untuk selalu melindungi diri anda daripada STIs semasa hubungan seksual, walaupun semasa mengandung. Ini dapat dicapai dengan menggunakan kondom lelaki / wanita.

Adakah normal berlakunya pendarahan ketika hamil?

Sebilangan wanita mengalami pendarahan ringan atau tompok darah pada trimester pertama kehamilan (hari pertama haid terakhir- akhir minggu 12). Menyedari pendarahan ini boleh jadi menakutkan, tetapi ianya sesuatu yang agak normal.

Bolehkah saya hamil pada kali pertama melakukan hubungan seks?

Sekiranya anda telah mula datang haid, anda boleh hamil. Secara amnya, gadis yang lebih muda lebih subur daripada wanita yang lebih tua, dan boleh hamil dengan mudah. Jangan percaya sesiapa yang beritahu anda yang anda tak akan hamil hanya untuk sekali ini. Bertegaslah untuk memakai perlindungan bagi mengelakkan kehamilan yang tak dikehendaki atau risiko STD.

Adakah saya terlalu tua untuk hamil?

Selagi anda anda masih datang haid, anda boleh hamil. Walaupun benar bahawa semakin anda tua, semakin anda kurang subur, anda mesti menganggap diri anda subur dan mampu hamil melainkan tidak datang haid sekurang-kurangnya dalam tempoh satu tahun penuh.

Adakah saya memerlukan kontraseptif semasa menyusu?

Para saintis telah menyimpulkan bahawa tempoh penyusuan adalah 98% berkesan sebagai penghalang kepada kehamilan, jika ketiga-tiga kriteria ini dipenuhi:

  • anda mesti menyusukan bayi anda sepenuhnya atau hampir sepenuhnya. Ini bermakna anda juga memberi susu pada waktu malam, elakkan suplemen formula , serta mengadakan jarak yang kerap dan singkat di antara waktu penyusuan;
  • anda masih belum datang haid sejak bersalin. Apa sahaja jenis pendarahan faraj selepas hari ke-56 tempoh bersalin menandakan bahawa kesuburan telah kembali; dan
  • bayi anda mesti berumur kurang dari enam bulan.
Bolehkah saya hamil selepas melahirkan jika haid saya belum lagi bermula?

Anda boleh hamil sebaik sahaja berlakunya ovulasi (proses pelepasan ovum). Sebilangan wanita berovulasi empat hingga enam minggu selepas melahirkan. Yang lain, terutamanya ibu yang menyusu, mungkin mengalami ovulasi pertamanya lebih lambat. Malangnya, ini bukan kaedah yang baik untuk meramalkan bila waktunya anda memerlukan kontrasepsi, kerana ovulasi berlaku sebelum haid anda mula kembali. Untuk mengelakkan kehamilan sejurus selepas kelahiran:

  • Elakkan hubungan seksual selama enam minggu selepas bersalin. Ini juga akan membolehkan rahim mengecut dengan betul, penyembuhan tisu vagina, dan mengurangkan risiko jangkitan rahim.
  • Bincangkan kontrasepsi dengan doktor sebelum anda keluar dari hospital. Sekiranya anda merancang untuk mengambil pil, surat kebenaran doktor (preskripsi) boleh diberikan ketika ini dan anda boleh memulakannya pada waktu yang sesuai. Sekiranya anda merancang untuk menggunakan DepoProvera atau mendapatkan IUCD, beritahu doktor anda supaya dia dapat berbincang tentang perancangan anda.
  • Jangan bergantung sepenuhnya pada penyusuan untuk kontrasepsi, melainkan anda menyusu bayi sepanjang masa tanpa suplemen, ia mungkin tidak akan efektif. Walaupun begitu, anda masih boleh alami ovulasi dan hamil pada bila-bila masa.
  • Gunakan kondom jika ada kemungkinan mengandung.

Ketahui lebih lanjut tentang mencegah kehamilan selepas bersalin di sini.

Tanya kami

Ingin mengetahui?

3 + 4 =

Need Help? Chat with us