Sifat ingin tahu anak-anak muda terhadap seks dan seksualiti bukanlah perkara yang dapat dinafikan. Ia dipandang sebagai lumrah dan sebahagian dari proses pembesaran.  Memperolehi pengetahuan sempurna dan bimbingan tentang perkara berkitar aspek fizikal dan emosi saat menginjak ke alam dewasa serta memulakan ikatan hubungan haruslah juga dianggap sebagai hak asasi mereka. 

Pendidikan Seks yang Komprehensif (PSK) tidak hanya fokus pada seks dan seksualiti tapi menekankan kepentingan membina hubungan yang sihat, bukan sahaja dengan orang lain bahkan dengan fizikal serta emosi kita sendiri. UNESCO mendefinisikannya sebagai “pendekatan yang sesuai dengan usia, relevan dengan budaya untuk mengajar tentang seksualiti dan hubungan menerusi maklumat yang tepat secara saintifik, realistik dan tidak bersifat menghakimi.“

Dengan itu, terdapat banyak usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu ini di Malaysia. Namun, kita tidak melihat usaha yang sama dalam membekalkan PSK untuk anak muda Sarawak. Sungguhpun ini mendukacitakan, adalah penting juga untuk menyedari yang Sarawak mempunyai kadar kehamilan remaja antara paling tinggi di negara, dengan peningkatan lebih 10% bagi kes yang dilaporkan tahun lepas menurut Ketua Wanita SUPP, Kho Teck Wan. 

Kadar kehamilan luar nikah remaja meningkat dari 48.5% pada 2015 ke 63.3% pada tahun 2019.   

“Ketika masih muda, saya melakukan hubungan seks sebelum berkahwin dan teman lelaki saya waktu itu tak menawarkan untuk guna perlindungan. Mungkin sebab kami berdua sangat muda waktu itu dan tak tahu sangat tentang akibat dari seks tanpa perlindungan. Itu pengalaman seks saya yang pertama dan saya pun tak pernah diperkenalkan kepada kawalan kelahiran.”

Marissa dan suaminya, kedua-duanya sekarang berumur 19 tahun, terpaksa meninggalkan sekolah menengah di Kapit demi memelihara bayi lelaki mereka. 

“Umur saya 17 tahun sewaktu saya hamil dan memandangkan saya dari keluarga Iban, saya ditegah menggugurkan kandungan demi menjaga air muka orang tua. Sebab itulah penting bagi teman lelaki saya untuk bertanggungjawab sepenuhnya. Lalu kami berhenti sekolah dan berkahwin,” katanya sambil menunjukkan gambar keluarganya. 

Penting juga melihat keperluan PSK dalam melawan bukan sahaja kehamilan remaja tapi juga virus HIV di Sarawak. Terdapat 340 kes baru HIV hingga November tahun lepas menurut Dr Tonni Sia dari Hospital Besar Sarawak (SGH). 

Dari jumlah itu, 93 persen adalah lelaki, di mana 98.3 persen dari mereka mendapat virus tersebut melalui aktiviti seksual – dan 90 persen melalui seks sesama jenis.  

“Saya berumur 19 tahun ketika menemukan seorang lelaki sewaktu keluar malam di sebuah bar di Kuching. Kemudian kami lakukan hubungan seks. Saya agak mabuk jadi tak pasti samada saya setuju atau tidak dengan ajakannya. Saya hanya ikut sahaja lalu kami lakukannya tanpa perlindungan.” 

Sebastian yang kini berumur 21 tahun telah didiagnos dengan Penyakit Menular Seksual (STD) dan merupakan pesakit HIV-positif sejak tahun lepas. 

“Ia bermula bila saya alami ruam di seluruh badan yang mana saya ingatkan cuma ruam panas biasa. Tapi tak rasa gatal pula. Jadi, saya pergi ke hospital dengan ayah saya lalu doktor beritahu yang mereka perlu jalankan ujian darah. Mereka mengesyakinya sebagai STD. Lepas itu, saya positif STD dan HIV,” katanya ketika dia berkongsi juga tentang tempoh kemurungan yang dilaluinya disebabkan diagnosis itu. 

Ketika ditanya samada PSK sepatutnya dapat bantu mereka sebelum itu agar lebih berpengetahuan tentang seks, keduanya menjawab ya. 

Marissa menyentuh tentang bagaimana kanak-kanak seharusnya diperkenalkan kepada PSK dalam kurikulum mereka seawal di Tingkatan 1 (13 tahun) manakala Sebastian berpendapat Tingkatan 4 (16 tahun) adalah umur yang sesuai. 

Apa pun, ramai lagi yang punyai kisah seperti Marissa dan Sebastian dan kebanyakan kisah masih tidak didokumentasi. Apatah lagi di kalangan anak muda di pedalaman Sarawak di mana budaya pemalu bergenerasi lebih menonjol. Topik seperti seks dan seksualiti dianggap sebagai taboo dan lebih baik disimpan dalam kain sendiri. 

“Kita lahir dari generasi pemalu”

Ini menyebabkan kebanyakan keluarga, khususnya orang Dayak, memilih untuk mengahwinkan anak perempuan yang hamil di usia dini. Mereka menganggapnya takdir dan kepercayaan ini diwariskan kepada anak perempuan mereka. Pola pemikiran ‘seks tanpa perlindungan-hamil-kahwin’ ini harus ditangani kerana anak-anak muda kita punyai hak untuk diberi pilihan lain, pilihan yang tidak merosakkan seluruh usia remaja dan masa depan mereka. 

Bagaimanapun, beza antara penduduk Sarawak dari pedalaman dan kawasan bandar adalah cuma dalam mengetahui atau tidak kewujudan dan kepentingan PSK. Mengetahui tentang PSK sahaja tidak memadai, kita memerlukan kerajaan menerapkannya dalam kurikulum pendidikan. Bila terdapat begitu banyak lapisan disajikan mengenai sesebuah isu, fokus dapat beralih dengan mudah dari isu yang sebenar. Ramai yang akan timbulkan persoalan seperti berikut:

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Kegagalan orang Sarawak meruntuhkan budaya “pemalu” mereka? Kurangnya perhatian yang diberikan oleh kerajaan? Atau adakah kita harus salahkan generasi muda kerana tidak bijak mengenal apa yang baik?

Sebaliknya, fokus haruslah sentiasa pada bagaimana kita, sebagai individu dan masyarakat, membantu dalam mempertingkatkan kesedaran tentang hal ini? Tiba masanya kita didik diri kita tentang apa yang PSK bekalkan yang mana merangkumi pendidikan tentang hak asasi manusia, seksualiti manusia, kesetaraan gender, akil baligh, hubungan serta kesihatan seksual dan reproduktif. 

PSK sangat penting untuk anak muda agar mampu melindungi diri mereka dari kehamilan tak dikehendaki, HIV dan jangkitan seksual, mempromosi nilai-nilai toleransi, saling menghormati dan bebas dari keganasan dalam berhubungan. Justeru, ia telah menunjukkan kesannya dari segi meningkatkan pengetahuan dan harga diri, mengubah sikap, norma gender dan masyarakat serta membina kecekapan kendiri. Ini belum mengira kesan positifnya pada perlakuan seksual yang lebih selamat pada masa sama tidak menggesakan aktiviti seksual. Semua yang disebut penting untuk memastikan anak muda kita menginjak ke alam dewasa dengan selamat.   

Berhenti menganggap pendidikan seks sebagai subjek taboo. 

Cara berfikir seperti ini harus dikikis kerana ia membendung peluang anak muda kita untuk mengamalkan hak mereka kepada pendidikan seks yang wajar. Menurut sebuah artikel dalam The Star, telah pun terbukti yang PSK tidak menggalakkan aktiviti seks, kelakuan mengambil risiko seks atau kadar jangkitan STI/HIV, satu kebimbangan yang dibangkitkan oleh banyak pihak. 

Ada juga kebimbangan mengenai kurangnya tenaga pengajar yang dilengkapi dengan pengetahuan tepat tentang PSK. Ini dapat diselesaikan dengan melaksanakan kurikulum PKS berasaskan komputer untuk pelajar-pelajar seperti yang diperkenalkan oleh Rutgers – sebuah pusat pakar hak kesihatan reproduktif dan seksual dari Belanda. 

Kita harus sedari bahawa terdapat banyak cara PSK boleh diajar sini di Sarawak, dengan syarat kita semua dapat bekerjasama di samping anak muda dalam menuntut hak mereka. Langkah pertama adalah dengan mengenalpasti masalah dan kemudian barulah terbukanya jalan untuk membekalkan generasi muda dengan pendidikan seks yang sebetulnya layak untuk mereka. Pendidikan yang dapat mempersiapkan mereka untuk kehidupan yang selamat, produktif dan memuaskan. Bila dilaksanakan dengan baik, PSK boleh menjadi penyelesaian kepada tuntutan ini, memberdayakan anak muda Sarawak agar membuat keputusan berilmu dalam hubungan dan seksualiti serta mengemudi selok-belok dunia di mana keganasan berasaskan gender, ketidaksetaraan gender, kehamilan awal dan tak diingini, HIV dan jangkitan seksual lain masih mengancam kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan risiko yang serius.

Terjemahan oleh Hera

Foto oleh  mododeolhar dari Pexels

Need Help? Chat with us