Beberapa tahun lepas ketika saya berumur 24 tahun, kerana ingin tahu tentang kemampumilikan dan kebolehcapaian alat kontraseptif jangka masa panjang (LARC), saya telah menghubungi cawangan Klinik Nur Sejahtera terdekat untuk bertanya mengenai IUD tembaga. Saya aktif secara seksual dengan seorang pasangan pada masa itu, tetapi kami belum berkahwin. Jelas sekali, ada kebimbangan mengenai kehamilan yang tidak diingini, dan setelah beberapa kali ditakutkan kemungkinan akan hamil, saya memutuskan bahawa dengan menggunakan kondom sahaja tidak cukup untuk menenangkan saya. Oleh itu saya memerlukan LARC dengan keberkesanan 99%. Harga menurut laman webnya adalah RM80, yang sangat berpatutan untuk saya. Sekiranya saya mendapatkannya dari doktor swasta, mungkin kosnya mencecah RM200 atau lebih, jadi mempunyai alat kontraseptif yang boleh bertahan selama 3 tahun dengan harga kurang dari RM100 adalah pilihan yang bagus untuk saya yang baru mula bekerja dan ketika itu masih bergelut dengan soal kewangan.

Soalan pertama yang saya terima sewaktu menelefon, adakah saya sudah berkahwin atau belum? Apabila menjawab belum, kakitangan yang bertugas memberitahu saya bahawa mereka tidak menyediakan alat kontraseptif untuk wanita yang belum berkahwin. Ketika ditanya mengapa, mereka cuma menjawab itu adalah polisi mereka. Saya terkejut. Saya tidak pernah mendengar tentang polisi sebegitu, dan tidak menemukan apa-apa yang ditulis di laman web rasmi mereka mengenai hal tersebut. Kecewa, saya langsung melupakan hasrat saya untuk memasukkan IUD, dan terus menggunakan kondom diikuti oleh beberapa lagi fasa ketakutan akan kemungkinan hamil– di mana ianya memburukkan lagi kesihatan mental saya. Pengalaman membingungkan itu menghalang saya untuk mendapatkan akses kepada alat kontraseptif bersubsidi, baik dari kemudahan kerajaan atau Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kerana saya tidak selesa status perkahwinan saya diteliti sebegitu sebelum saya mendapatkan akses LARC. Apa yang akan berlaku sekiranya saya – seorang wanita Melayu yang bertudung ketika itu – berjalan ke klinik, tanpa sijil nikah dan sebagainya, lalu terus meminta IUD? Adakah ia akan jadi skandal? Adakah saya akan diceramah oleh kakitangan mengenai larangan seks sebelum nikah?

Tiga tahun kemudian, apabila membaca artikel yang dipaparkan di Malaysiakini, saya sangat terkejut ketika mengetahui bahawa sebenarnya tidak ada hitam putih mengenai perkara ini. Malah bukanlah sebahagian daripada polisi Kementerian Kesihatan untuk menidakkan akses kontraseptif dari kemudahan kerajaan kepada wanita bujang. Secara teorinya jika seorang wanita bujang mengunjungi fasiliti ini, dia ditawarkan kaedah kontraseptif terbaik sesuai dengan keperluan perubatan dan pilihan peribadinya tanpa sebarang prasangka, Paling tidak pun, mereka harus menjalani kaunseling dengan pegawai perubatan sebelum mendapatkan kontrasepsi. Namun, ini jelas bukan yang diberitahu oleh kakitangan yang bertugas ketika kali terakhir saya hubungi mereka. Saya terfikir betapa baiknya jika saya dimaklumkan mengenai prosedur garis operasi yang sepatutnya daripada mendapat jawapan yang direka dari polisi yang tidak wujud pun. Tetapi kemudian saya tertanya berapa ramai kakitangan Klinik Nur Sejahtera yang tahu pun tentang SOP ini?

Saya selalu tertanya-tanya kenapa ada tentangan yang begitu kuat pada pemberian akses kontraseptif bersubsidi kepada wanita yang belum berkahwin. Salah satu penjelasan yang sering diberikan adalah, dengan menyekat akses ia akan mencegah wanita bujang daripada melakukan hubungan seks luar nikah. Walau bagaimanapun, jika ianya benar-benar mengenai mencegah hubungan seks di luar nikah, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa, dengan meningkatkan akses kepada alat kontraseptif yang mampu dimilki ia tidak menyebabkan peningkatan pergaulan atau tingkah laku seks rambang. Tidak seperti yang difikir sesetengah orang, kontraseptif murah yang mudah didapati tidak akan secara tiba-tiba memaksa lebih banyak orang bujang untuk melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Memandangkan kehamilan yang tidak diingini mempunyai kesan negatif yang lebih besar kepada wanita bujang berbanding wanita yang sudah berkahwin, dan kehamilan seperti itu lebih cenderung kepada mengakibatkan kes pembuangan bayi atau pengguguran bayi, tidakkah logik untuk memberi akses alat kontrasepsi yang berpatutan juga kepada wanita dan gadis yang belum berkahwin?

Penjelasan lain yang biasa diberikan adalah kerajaan tidak ada peruntukan dari sudut kewangan bagi menyediakan alat kontraseptif bersubsidi untuk semua tanpa mengira status perkahwinan atau pariti (pernah bersalin sebelum ini). Walau bagaimanapun, sesuatu yang kita harus sedar bahawa kehamilan yang tidak diingini menyebabkan beban kos kewangan yang besar kepada masyarakat, lebih dari memberi kos pemberian subsidi untuk alat kontraseptif. Satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa untuk setiap dolar yang dibelanjakan bagi menyediakan perkhidmatan kontraseptif yang dibiayai oleh orang ramai, secara purata $3 dapat dijimatkan dalam kos perubatan berkaitan kehamilan dan kelahiran. Adakah kita lebih suka melihat cukai yang kita bayar dibelanjakan untuk menguruskan komplikasi pengguguran tidak selamat, atau dibelanjakan untuk menyediakan akses kontraseptif berpatutan yang tidak bersifat menghakimi untuk SEMUA, yang mana akan sangat mengurangkan kemungkinan pengguguran tidak selamat tersebut?

Saya bernasib baik kerana sekarang saya mampu memasang IUD di klinik swasta. Tetapi saya masih memikirkan berapa banyak wanita dan gadis bujang seperti saya yang berusia 24 tahun  dan kesempitan wang dahulu, yang tidak mampu mendapatkan kaedah kontraseptif selamat dan boleh dipercayai kerana polisi tidak wujud yang telah dipaksa oleh organisasi yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mempromosi dan menyediakan kontraseptif yang mudah diakses. Kontrasepsi untuk wanita bujang adalah keperluan terabai yang serius dan harus diberi perhatian. Itulah yang wajar. 

Terjemahan oleh Hera

Foto oleh Anh Nguyen di Unsplash

Need Help? Chat with us