Pada 21 Ogos 2019, Abdul menghubungi saya dalam keadaan panik. Beberapa bulan sebelum itu, dia telah melakukan hubungan intim dengan kekasihnya yang menyebabkan kekasihnya tidak datang haid selama 3 bulan. Dia panik. Panggilan telefon itu berlangsung selama satu jam, di mana saya merujuk Abdul kepada organisasi yang dapat membantu.
Saya mendapat nombor telefon itu melalui rakan saya yang lain, Anne. Ianya berpunca dari rasa takut kemungkinan akan hamil. Dia terkesan dengan pengalamannya melihat perkongsian di media sosial, yang memperincikan aduan-aduan penyedia perkhidmatan kesihatan mengenai gaya hidup seksual pesakit-pesakit. Itulah sebab mengapa Anne lebih suka mencari jawapan bagi keraguannya dengan identiti rahsia di internet daripada meminta pandangan penyedia perkhidmatan kesihatan.
Kontraseptif sentiasa boleh didapati secara meluas di Malaysia. Dalam satu kes tertentu, ianya diedarkan secara meluas dalam kalangan wanita Orang Asli. Perihal akses mudah ini saya ketahui dari abang saya, seorang doktor yang bertugas di Gerik. Penjagaan rutin perancangan keluarga dilakukan oleh pejabat kesihatan Gerik untuk wanita Temiar dengan cara berlebihan pada masa sama rasa ingin tahu wanita mengenai perlunya pensterilan diabaikan. Satu memorandum persefahaman kemudian dihantar meminta penjelasan terperinci mengenai tindakan tersebut yang dianggap sebagai pelanggaran hak wanita Orang Asli.
Walau bagaimanapun, pengguguran sukarela masih ditafsirkan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan. Ini menyebabkan doktor menganggap bahawa pengguguran tidak boleh ditawarkan kepada pesakit tanpa alasan yang sewajarnya*. Salah faham undang-undang yang kerap terjadi inilah yang mengekalkan kejadian-kejadian seperti ketika berlaku kes rogol bawah umur di Gerik yang menyebabkan gadis tersebut terpaksa menyimpan kandungannya hingga melahirkan dan perlu berkahwin.
Saya juga teringatkan sebuah keluarga yang tinggal di PPR Kota Damansara. Di unit kecil flat itu, tinggal 9 orang adik-beradik bersama bapa mereka seorang pengawal keselamatan dan ibu yang seorang suri rumah. Ibu muda itu baru saja melahirkan anak bongsunya ketika saya mengunjungi kawasan tersebut. Saya tertanya-tanya sesuaikah ruang kecil itu dalam membesarkan anak-anak yang ramai. Saya ingin mempersoalkan sama ada pihak kesihatan di daerah itu menyediakan tahap penjagaan dan akses kepada alat kontraseptif yang sama bagi penduduk miskin bandar di Kota Damansara seperti yang mereka lakukan untuk wanita Orang Asli di Gerik. Adakah ibu kepada 9 orang anak ini dimaklumkan mengenai pilihan reproduktifnya sehingga melahirkan 9 orang anak? Nampaknya ada kekurangan dari pihak kesihatan yang seharusnya dapat membantu beliau dalam merancang keluarga, sehingga ibu itu tidak menyedari adanya alat kontraseptif di klinik berdekatan.
Kisah-kisah pengalaman begini menjadi peringatan menarik tentang realiti pelik yang kita hadapi. Abdul sedang mengikuti kursus perubatan. Dia telah mempelajari tentang sistem reproduktif pada tahun yang sama saya menerima panggilan darinya tetapi dia tidak menyedari aspek praktikal isu-isu hak kesihatan seksual dan reproduktif. Begitu juga dengan Anne. Dia berasal dari keluarga berpendapatan sederhana tinggi yang tinggal di kawasan bandar namun kesedaran beliau mengenai pilihannya tidak datang dari keistimewaan status sosialnya. Itu adalah pemahaman yang datang hasil dari keterdesakan pada waktu tersebut. Pun begitu, kesedaran itu terbatas. Dia tidak menyedari kenyataan bahawa ketersediaan alat kontraseptif yang meluas itu sepatutnya dapat menghindarkannya dari ketakutan akan kehamilan yang menyebabkannya terus mencari khidmat pengguguran sukarela. Juga wujud isu terpaksa bergantung pada identiti rahsia untuk mendapatkan pengetahuan ini. Dia terpaksa pandai-pandai melayari laman-laman web perkongsian pengalaman peribadi sehingga secara kebetulan menemukan tempat perlindungan. Kedua-dua mereka tidak menyedari betapa pentingnya perlindungan dan kontrasepsi sehingga realiti betapa teruknya situasi itu telah memaksa mereka untuk mencari tahu.
Cara penyebaran maklumat dalam kalangan komuniti di Malaysia adalah tidak konsisten. Dua komuniti terpinggir mengalami tahap kesedaran yang berbeza di mana salah satunya melalui perancangan keluarga yang berlebihan sementara komuniti yang satu lagi berupaya membesarkan 9 anak di rumah flat 3 bilik tidur. Walaupun satu kes mungkin tidak mencerminkan keadaan seluruh masyarakat, ia adalah simptom kepada permasalahan dasar tentang kurangnya kesedaran mengenai hak kesihatan seksual dan reproduktif. Ini melambangkan keterjejasan dalam pendidikan seksual, kerana ia disebarkan secara selektif.
Pendidikan seksual lebih daripada sekadar menyebarkan kesedaran mengenai pengendalian yang betul untuk situasi-situasi seperti kehamilan yang tidak diingini. Ia adalah tentang merealisasikan hak yang dimiliki seseorang sebagai makhluk seksual dan reproduktif. Pendidikan seksual tidak boleh dianggap berkesan hanya kerana alat kontraseptif tersedia di negara ini, dan orang dapat mencegah kehamilan tidak diingini dan jangkitan seksual. Ia cuma mencapai penyelesaian bila setiap individu berjaya bebas membuat keputusan sendiri dalam menjalani kehidupan seksual dan memilih untuk melahirkan berdasarkan apa yang menepati fitrah hak-hak mereka.
Semasa saya menulis artikel ini, seorang pekerja seks memutuskan untuk melakukan pengguguran. Untuk membantunya dalam situasi itu, usaha menggumpulkan dana dilakukan oleh pekerja-pekerja sosial untuk membiayai pembedahan tersebut. Namun, walau di kalangan golongan progresif sekalipun, ia masih mencetuskan pertikaian di mana satu pihak mengutuk keputusan itu dan pihak lainnya mempertahankan keperluan pekerja seks mendapatkan akses dan menggunakan hak mereka, meskipun individu berkenaan mungkin tidak mempunyai pilihan untuk melepaskan diri dari gaya hidup tersebut.
Diskriminasi terhadap orang terpinggir adalah perkara yang sering berlaku. Kurangnya kesedaran individu mengenai hak-hak, penyalahgunaan kata-kata “kesejahteraan untuk semua” yang disengajakan dan perhatian hambar yang diberikan kepada golongan bawahan dalam masyarakat membentuk realiti semasa kita, di mana aksesnya tersedia, namun tidak mudah diakses. Kita tidak boleh mudah berpuas hati dalam usaha mendidik. Maklumat dan bantuan tanpa sifat menghakimi harus disediakan untuk semua orang, tanpa mengira kedudukan sosial. Golongan yang memerlukan menghendaki lebih dari sekadar akses, belas kasihan dan kefahaman dari masyarakat di mana kita semua dapat berkembang maju.
* Sebenarnya, Akta Kanun Keseksaan (pindaan) 1989 membenarkan pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 untuk menamatkan kehamilan sekiranya doktor percaya bahawa jika kehamilan itu diteruskan boleh meningkatkan risiko kepada nyawa wanita hamil tersebut, atau membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kesihatan mental atau fizikalnya.
Terjemahan oleh Hera
